Sebelum menulis entry ini, emosi telah berada dalam keadaan yang terkawal.
Suami pernah meluahkan keadaan emosi aku berkenaan rezeki anak sudah terkawal berbanding tahun ke-3 perkahwinan iaitu tahun lalu. Kalau dulu setiap bulan ketika 'kawan baik' datang aku pasti menangis sehingga perlu dipujuk oleh En Hubby.
Begitu juga jika dapat perkabaran kenalan-kenalan rapat dan sesiapa yang mengandung , aku pasti jadi emosi tidak tentu pasal. Tapi sekarang aku semakin redha dengan rezeki anak yang belum diberikan pada kami.
Mungkin belum masanya lagi kami diberikan rezeki anak. Namun aku bersyukur kerana diberi peluang merasai pengalaman mengandung walaupun hanya seketika singgah di rahimku sebelum aku disahkan 'failing pregnancy'.
Sekurang-kurangnya aku tahu aku boleh mengandung dan kami tidak mandul tapi masih belum masa yang terbaik untuk kami.
Apapun setelah kejdian tersebut aku ambil masa untuk pujuk hati dan kini semakin redha menyerahkan semuanya pada Allah swt. Sesungguhnya perancangan Allah adalah yang terbaik. Hanya Dia yang Maha Mengetahui masa terbaik untuk memberikan rezeki tersebut kepada kami. Mungkin kami nampak bersedia tapi Allah tahu kami belum lagi bersedia.
Aku sentiasa didik hati agar sentiasa bersyukur walaupun belum diberikan rezeki anak kerana :
- Aku diberikan rezeki suami yang penyabar, penyayang, bertanggungjawab dan sentiasa mengambil berat
- Diberikan dua buah keluarga yang tidak pernah mendesak kami mengenai zuriat, bahkan sangat menyokong dan memahami
- Diberikan ibu mertua yang sangat baik dan mengambil berat
- Diberikan masa lapang kepada kami untuk berdua-duaan seperti baru berkahwin
- Dicampakkan perasaan untuk sentiasa berkasih sayang antara kami berdua
- Peluang kami menyimpan wang ( En Hubby dapat menyimpan setiap bulan 1/3 dari wang gajinya)
- Aku dan En Hubby masih lagi bernafas dan diberikan kesihatan yang baik
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Sesungguhnya terlalu banyak pemberian Allah yang perlu disyukuri berbanding rezeki anak yang masih belum diberikan. Aku selalu pujuk hati untuk sentiasa bersangka baik pada qada dan qadar Allah. Untuk apa meratapi sesuatu yang belum diberikan. Sedangkan terlalu banyak nikmat telah Allah berikan pada kami yang perlu disyukuri.
Aku masih ingat kata2 suami yang buat airmata mengalir. " jika ditakdirkan kita tiada anak sampai bila2 pun, abang akan tetap sayang syg sampai bila2 dan berdoa cinta abang tidak akan berubah. Anak bukan matlamat utama abang kawen dengan sayang. Allah swt tak pernah menjanjikan orang yang berkahwin akan dapat anak"
Sebak dengar kata-kata itu sehingga tahan untuk tidak menangis. Ia penguat semangat dan semoga kami dapat mengharungi kehidupan ini dengan sinar bahagia walaupun ditakdirkan tiada anak hingga ke akhir hayat kami.
No comments:
Post a Comment