Monday, May 21, 2018

Resepi Masak Lemak Ikan Kembung

Assalamualaikum wbt..
Jarang sekali aku masak jenis yang bersantan. En Hubby kurang gemar kuah berlemak dan aku pula kurang mahir masak lemak.

Setelah kahwin, cara masak banyak dipelajari dari ibu mertua yang sekian lama memasak untuk suamiku. Jadi petua orang tua, jika ingin memikat perut suami perlu pandai masak masakan yang dimasak oleh ibunya.huhu. Ibu mertua pula seorang yang tidak kedekut berkongsi teknik masakan.alhamdulillah dapat Ibu mertua yang sangat sporting.

Tapi kali ni bukan resepi ibu mertua yang nak dikongsi. Resepi ini hasil pemerhatian ibuku memasak dan telah diolah mengikut citarasa sendiri. Masak untuk 2 orang makan

Bahan-bahan :
Ikan kembung 2 ekor dipotong dua
5 ulas kecil bawang merah
Lengkuas
Kunyit
Cili padi
Serai diketuk
Asam keping
Timun dipotong memanjang
Santan kotak ( anggaran)
Sedikit garam


Tumbuk bawang merah,cili padi,lengkuas dan kunyit. Satukan bahan tumbuk,ikan,serai,timun dan santan cair dalam kuali. Gaul sebati.


Baru pasang api. Masukkan asam keping
Biarkan seketika. Masukkan santan pekat dan garam


Padamkan api. Sedia dihidang


Sambal telur dan kangkung goreng belacan sebagai lauk sampingan. Sedap dimakan dengan nasi panas.

Tips Berjimat Cermat di Bulan Ramadhan

Assalamualaikum wbt..
Selamat menjalani ibadah puasa buat semua.
Hari ni dah 5 hari kita berpuasa.
Di bulan puasa ni sepatutnya kita dapat mengurangkan perbelanjaan makan dan minum sebab kita tidak makan di siang hari kan. Tapi agak pelik jugak ada yang berbelanja lebih dari biasa di bulan Ramadhan.
Rasanya hal tersebut tidak sepatutnya berlaku. Jangan kita tergolong dalam golongan yang rugi sehingga melakukan pembaziran disebabkan terlalu mengikut nafsu.

Ingin rasanya berkongsi tips berjimat cermat yang aku baru amalkan pada tahun ini secara tekad dan nekad. Tahun lepas dah mula praktik tapi ala suam suam kuku je. Tahun ni nekad sebab ada musibah yang melanda kami yang menyebabkan amalan berjimat cermat wajar diamalkan.

Tips :
1) Jangan membeli ketika perut lapar
Memang tak membeli la ye sebab bulan puasa. Jangan kejam sangat.huhu..Pada waktu malam boleh rancang juadah untuk keesokannya dan masaklah ikut perancangan tersebut.

2)Amalkan satu hari satu jenis lauk
Aku dan En Hubby tak kisah satu jenis lauk sahaja untuk berbuka.
Nak masak banyak jenis pun susah jugak dengan sikap kecik yang merengek kalau lama-lama dengan En Hubby

3) Masak dan panaskan
Aku lebih puas makan yang dimasak di rumah. Lebih terjamin kebersihannya. Lauk yang tidak habis jangan dibuang. Masukkan dalam peti ais dan panaskan.
Kami memang biasa panaskan lauk yang sama 2 hari. Tak elok membazir. Ia amalan syaitan kan. Jangan kita terikut-ikut ngan syaitan.

4) Elakkan ke Bazar Ramadhan
Ini adalah pendapat peribadi aku. Ia terpulang kepada pendapat masing-masing. Bagiku di bazar Ramadhan mendorong kita berbelanja lebih sebab perut tengah lapar. Lagipun kebersihan belum tentu dijaga dan kadang-kadang makanan yang dibeli tidak sedap.
Jika mahu juga ke bazar Ramadhan, limitkan wang di tangan. Jangan bawa tunai yang banyak sebab kita terdorong berbelanja mengikut nafsu bukan ikut keperluan.

5) Berhenti makan sebelum kenyang
Pastikan portion nasi ketika berbuka satu senduk. Tips ini bukan sahaja dapat berjimat cermat, ia juga dapat menurunkan berat badan.

Ambil lah peluang di bulan yang mulia ini untuk berjimat dari segi wang ringgit dan menjaga kesihatan dengan makan dengan sedikit mengikut keperluan.
Jika perbelanjaan di bulan Ramadhan dapat dikurangkan, kita dapat simpan wang untuk berbelanja hari raya nanti. Raya pula jangan terlalu mengikut nafsu, rancang perbelanjaan dengan bijak agar tidak 'kering kontang' selepas raya.


Sarang Art Hub


Kunjungan ke Sarang Art Hub yang terletak di Tanjung Malim sebenarnya dah lama tapi baru sempat bercerita di sini
 Itupun setelah tengok balik gambar-gambar ketika berkunjung ke sana dalam tahun 2016.

Pada waktu itu tempat ini baru dibuka. Ia pula berada di kampung En Hubby, jadi memang sesuai jika dapat merasa walaupun sekali macam mana rupanya. Kalau orang tanya pun takdela 'jakun' sangat ye.

Ia milik penerbit dan pengarah filem Mamat Khalid. Hasil dekorasi orang seni memang tempatnya sarat dengan kesenian.
Rezeki kami juga ketika berkunjung ke sana dapat berjumpa dengan pengarah terkenal itu.

Sempat kami bergambar bersama beliau untuk kenangan. Dapat la juga feeling bergambar bersama artis. Beliau seorang yang humble, peramah dan tidak sombong sempat kami bersembang-sembang dengannya.
Aku dan keluarga En Hubby makan kat situ. Makanannya juga boleh tahan sedap.



Perpustakaan mini

Bergambar kenangan bersama pengarah & penerbit terkenal-Mamat Khalid

Meja kayu yang sangat unik









 

Keterujaan Membuat Kek dan Biskut

Ini kisah keterujaan membuat kek dan biskut sebelum raya puasa tahun lepas. Ketika itu aku sedang sarat mengandung namun semangat berkobar-kobar membuat biskut untuk balik beraya di kampung halaman. Jika ikutkan tahun lepas giliran beraya di Kelantan. 

Namun di saat-saat akhir doktor menasihatkan agar aku tidak melakukan perjalanan jauh kerana bimbang bersalin dalam perjalanan balik kampung.

Sejurus dapat berita tersebut memang hati tersangat sedih sebab aku dah bersemangat buat biskut raya untuk 2 buah kampung. Tapi memikirkan keselamatan bayi dalam kandungan dan tidak mahu mengambil sebarang risiko, kami mengikuti nasihat doktor. Berayalah kami di kampung En Hubby. Tetap meriah dalam keadaan yang sederhana. Aku pun makan la sepuas-puasnya pada hari raya kerana bakal menempuh alam berpantang.

Di sini ingin aku bercerita mengenai minatku terhadap dunia biskut dan kek. Semuanya 'homemade'.


Inilah antara peralatan yang sangat membantu penyediaan kek dan biskut.

Untuk permulaan, siap dahulu 2 balang biskut.

 Biskut makmur yang telah siap dibakar. Gaul dengan susu tepung + gula aising.Resepi ni menjadi tapi dah lupa simpan kat mane resepi.

Biskut semperit.

Biskut mazola yang sangat gebu. Dah lupa resepi dari mana diambil.

Gigih panggang kacang tanah untuk buat biskut mazola.



Biskut mazola yang telah siap dibakar


Adunan semperit Cina. Resepi diambil dari blog Azlita masam manis norazlitaaziz.blogspot.my
Sangat membantu. Biskutnya memang sedap.



Brownies kedut ni juga resepi dari blog Azlita Masam Manis.


Inilah hasilnya..Biskut semperit,semperit Cina,biskut makmur,biskut mazola dan kuih siput.

Oven yang banyak berjasa. Hadiah dari En Hubby untuk isterinya yang suka buat kek & biskut. Dibeli ketika promosi dengan harga RM200 sahaja di AEON Mall Shah Alam.

Sunday, May 20, 2018

Cucur Jagung Sedap

4 Ramadhan (Ahad)

Jagung manis yang diberi oleh mak mertua masih ada dalam peti ais. Jadi elok dibuat sesuatu untuk berbuka puasa. Memandangkan langkah penjimatan di bulan puasa, lauk berbuka semalam banyak lagi dan hanya perlu dipanaskan sahaja.
Jadi hari ini aku buat cucur sahaja disamping nasi dan sejenis lauk sahaja.

Bahan-bahan:
Jagung 1 tongkol (dihiris-hiris)
Tepung gandum
Bawang merah
Sedikit udang kering (xbeli udang basah)
Ikan bilis
*Tips : ikan bilis & udang kering direndam sekejap untuk bagi lembut, senang bila ditumbuk nanti
Cili kisar
Karoot yang dipotong dadu kecil
Daun kucai dipotong kecil
Serbuk kunyit
Garam halus
Gula
Sebiji telur


 Cara membuatnya :
Tumbuk bawang merah,udang kering & ikan bilis. Masukkan ke dalam jagung & Karoot yang telah dihiris kecil. Masukkan daun kucai, cili kisar, gandum,serbuk kunyit,gula dan telur.
Gaul hingga sebati. Air perlu dimasukkan sedikit demi sedikit mengikut keperluan. Jangan terlalu keras dan jangan terlalu cair.
Sedia digoreng.

Guna sudu kecil agar bentuk cucur comel & rangup.

 Goreng hingga kekuningan


Siap sedia untuk dihidangkan. Boleh dimakan dengan sos Thai.

Adunan yang dibuat agak banyak sebab aku memang suka makan cucur kalo berbuka. Nasi makan sedikit saja. En Hubby pula tak suka makan cucur. Jadi adunan yang tidak habis digoreng dimasukkan ke dalam freezer untuk digoreng lagi.
Lebih jimat. Tidak perlu beli kuih di bazar Ramadhan yang belum tentu kebersihannya dan kena dengan selera kita.

Monday, May 14, 2018

Sandwich Sardin Simple

Bila terasa hendak makan sesuatu selain nasi, mula lah otak ligat berfikir apa yang ingin dimasak untuk mengisi perut yang sedang kelaparan.
Entri ini juga telah lama tersimpan dalam draft. Baru sekarang ingin dikongsikan. Bila dekat Ramadhan ni barulah semua resepi ingin dikongsi..Huhu..Dengan niat bulan puasa nanti boleh la dibuat.

Sandwich Sardin Simple

Bahan-bahan : Roti Gardenia satu paket, sardin tin kecil, cili padi, limau kasturi,bawang besar  dan bawang putih dimayang.

Gambar cara masak inti lupa nak ambil.
Tumis bawang besar& bawang putih sehingga sedikit layu. Masukkan cili padi, masukkan sardin dan lenyekkan di dalam kuali yang sama. Perah limau kasturi. Kacau rata sehingga agak masak. Letak sedikit garam halus.
Boleh disejukkan.


Setelah itu acara melapis sandwich dengan inti dan timun yang dihiris boleh diteruskan. Boleh letak mayonis untuk lebih sedap.
Simple kan.

Karipap Inti Kentang,Ayam & Telur

Entri ini sebenarnya telah lama tersimpan  rapi dalam draft menunggu masa empunya blog mempunyai semangat untuk dikongsi bersama. Tidak mahu resepi ini hilang begitu sahaja, ada baiknya jika ia dikongsi di sini. Lagipun Ramadhan bakal tiba. Mungkin boleh dibuat juadah berbuka puasa nanti.
Karipap ini dibuat setelah keinginan untuk makan karipap Singapura yang susah nak cari di kedai. Masa ini tengah mengidam hendak makan karipap Singapura yang sangat sedap. Jadi kesudahannya adalah buat sendiri. Resepi ini sudah lupa dari sumber mana. Ianya diolah mengikut citarasa sendiri.


Bahan-bahan Inti : bawang merah, bawang putih, ubi kentang, isi ayam yang dipotong dadu.

Oleh sebab buat sedikit, bawang putih dan bawang merah ditumbuk sahaja. Sebenarnya malas hendak mengotorkan pengisar.

 Tumis bawang yang ditumbuk. Masukkan sedikit bancuhan kari daging. Kacau sebati dan masukkan ayam serta ubi kentang. Masak sehingga ubi kentang empuk. Jangan lupa letak garam dan sedikit gula.
(Sila abaikan rupa kuali yang banyak berjasa itu..Huhu)


Bagi menyediakan pastri karipap, 2 cawan gandum dan mentega (anggaran). Diuli bersama air yg diletakkan sedikit garam. Uli sehingga doh lembut dan boleh dicanai.


Inilah dia rupa karipap yang sedia digoreng. Boleh dibuat Frozen jugak jika mahu buat stok untuk Ramadhan yang bakal tiba nanti. Salah satu lagi langkah penjimatan. Tidak perlu bersesak di bazar Ramadhan dan jimat duit belanja.



Resepi Masak Lemak Ikan Kembung

Assalamualaikum wbt.. Jarang sekali aku masak jenis yang bersantan. En Hubby kurang gemar kuah berlemak dan aku pula kurang mahir masak l...